Pages

KeCintAAn KpD ALLAH meLingKuPi hati,KeCinTaaN inI MembimbIng HaTi Dan BahKan MenaMbaH Ke seGaLa HaL

kupu-kupu

Photobucket

Wednesday 8 June 2011

Pengisian Jiwa



Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup…

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu…

Jika kamu menadah air biarlah berpada. Jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar memenuhi keperluanmu. Kerana apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya, mungkin ia masih boleh digunakan lagi…

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya…

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah dan cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya lagi. Kamu akan menyesal…

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah dan cuba membandingkannya dengan yang lain? Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan menyesal……


Thursday 2 June 2011

PEMERHATI SUNYI


Dalam melaksanakan tanggung jawab sebagai isteri atau suami pasti ada kesepian dan kelelahan. Tugas rutin yang dijalankan hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan sehinggalah bertahun-tahun adakalanya menimbulkan kejemuan dan kesepian. Putaran kehidupan, pasti meletihkan. Ditambah pula kadangkala oleh sikap pasangan yang tidak memahami jiwa dan perasaan. Ketika itu segalanya hambar dan tawar.
Jika itu yang sedang terjadi pada diri kita kini, jangan dibiarkan berlarutan. Bertindaklah untuk mengubah keadaan bermula dengan mengubah jiwa, pemikiran dan perasaan sendiri. Kita tidak mampu mengubah apa yang di luar diri tetapi kita boleh mengubah diri. Pertama, perlu kuatkan jiwa. Bagaimana? Apalagi kalau bukan dengan solat dan zikir. Siti Fatimah yang mengadu keletihan dalam menguruskan rumahtangga, mendapat kekuatan dengan berzikir subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar yang diberikan oleh ayahandanya Rasulullah saw.
Pemikiran Siti Fatimah dilapangkan dengan didikan untuk mencintai akhirat melebihi dunia. Lalu dengan ’tauhidic mindset’ itulah terasa olehnya betapa kecilnya penderitaan dunia berbanding penderitaan akhirat. Justeru, dia rela menerima kesusahan dunia yang sedikit dan sementara demi mengenangkan nikmat akhirat yang lebih baik dan selama-lamanya. Emosinya jadi tenteram ketika kesepian, oleh rasa hatinya yang sentiasa merasai ada Allah yang sentiasa memerhatikannya. Begitulah perasaan orang yang hampir dengan Allah. Imam Ghazali pernah menulikan, “ketika kau kesepian jangan kau katakan aku sunyi… tetapi katakan pada diri, di sisiku sentiasa ada Pemerhati!”  
Dunia ini tidak lepas daripada rasa jemu, sunyi dan lesu. Nikmat yang diburu, akan rasa jemu apabila sudah dalam genggaman. Manis, seronok dan indah hanya sementara. Tidak kira yang nikmat yang bernama anak, suami atau isteri. Tanpa cinta yang mendalam dan menyala-nyala kepada Allah, segala bentuk cinta yang lain (cinta mahkluk)  akan beransur malap dan gelap. Begitulah fitrah hati. Cinta Allah itu tapak segala cinta yang lain. Bila cinta Allah goyah, cinta yang lain akan turut rebah.
Tanpa kembali kepada cinta Allah, kita akan menjadi pemburu cinta yang dungu dan lesu. Cinta yang di depan mata dipersia, cinta fatamorgana yang tidak nyata diburu bagai nak gila. Akibat jemu, sepi dan lesu, ada yang mula bertindak membuka lembaran cinta yang  baru. Mereka ketagih untuk merasai semula keharuman dan kehangatan cinta yang pernah dialami masa muda-muda dahulu. Orang lama ini bermimpi untuk menjadi orang baru yang hidup penuh keceriaan, bertenaga dan bermotivasi dengan menjana cinta yang baru.
Lalu wujudlah apa yang dinamakan ‘teman tapi mesra’. Suami orang dan isteri orang berhubung dengan mesra. Ini hakikatnya satu lagi ‘produk’ hubungan mungkar tajaan syaitan untuk menipu manusia. Kononnya, keduanya tetap menjaga perkahwinan masing-masing, tetapi mereka akan bersahabat dengan bertemu, bermesra, berbual dan saling meluah rasa tanpa pengetahuan pasangan mereka. Teman tapi mesra ini hakikatnya adalah perbuatan yang telah menghampiri zina. Istilah itu hanya dicipta untuk mengurangkan rasa berdosa kerana bermesra dengan isteri atau suami orang.
Tepuk dada, tanya rasa hati kita yang paling dalam, sukakah kita jika isteri meluahkan rasa hatinya kepada orang lain? Bagaimana rasa siisteri, apabila diketahuinya ada perempuan lain yang dimesrai dan diambil berat persaannya oleh suaminya sendiri? Tentu ada hati yang terluka. Pasti ada rasa yang tidak rela. Sedangkan segala rahsia harus dikongsi bersama. Mengapa dia perlukan ‘teman tapi mesra’? Apakah  kerana aku sudah jadi ‘suami tapi tidak mesra’ atau ‘isteri tanpa cinta?”
Anehnya, isteri atau suami yang lupa diri ini begitu bersopan, lemah lembut, bergaya dan menjaga penampilan diri di hadapan teman mesranya. Kata-katanya sungguh sopan, tingkah lakunya sungguh baik. Bila bersama temannya dialah lelaki paling romnatis atau wanita yang paling beradab. Padahal dengan suami atau isteri di rumah, tutur katanya kasar, sapanya selamba dan tingkah lakunya serba pasif dan air mukanya yang masam dan bungkam. Sungguh pelik, dia telah menzalimi dirinya sendiri dengan memberi hak kepada yang tidak berhak manakala merampas hak daripada yang berhak. Hak suami atau isteri telah dirampas lalu diberikan kepada teman tapi mesranya itu!
Itu kisah suami atau isteri yang berkerja di luar, samada di pejabta kerajaan atau di badan-badan swasta. Mereka punya alasan, ruang dan peluang untuk selingkuh di luar. Bagaimana pula dengan isteri yang berada di rumah? Ya, dalam dunia tanpa sempadan dan era ICT ini segalanya berada di hujung jari. Dosa dan pahala boleh diraih melalui satu ‘clik’ sahaja pada papan kekunci atau tetikus komputer. Celik IT tetapi buta hati telah menyebabkan lebuh raya siber menjadi medan menjana cinta kayu tiga yang penuh dosa dan laga’ (sia-sia) ini.
Kaldai cinta. Itulah gelaran yang layak diberikan kepada seorang yang bercinta secara membabi-buta. Tanpa tujuan yang jelas dan pengenalan yang tepat, kaldai cinta ini memberi cinta sepenuh dan seluruhnya. Dan akibatnya, segala miliknya tergadai. Maruah, akhlak dan semua orang yang menyayanginya rela dikorban. Bayangkan, berkenalan dan bercinta hanya melalui laman sosial dalam internet, samada lewat facebook, twiter atau YM, namun akhirnya menumbuhkan bibit cinta di alam maya dan komitmen yang nyata dalam alam realiti.
Bayangkan bagaimana teganya seorang isteri yang sudah punya beberapa orang anak dan seorang suami rela mengabaikan tanggung jawabnya kerana cintanya yang mendalam kepada seorang lelaki seberang laut yang kononnya sangat memahami, prihatin dan menyayanginya sepenuh hati. Manakala seorang gadis pula rela meninggalkan ibu-bapa yang menyayanginya kerana mengikut kata kekasih hatinya yang bermata biru atau  yang berkulit hitam. Atau ada pula suami yang sanggup berjaga malam, berteleku di hadapan komputer riba hanya untuk berbual-bual dengan ‘kekasih’ maya.
Mula-mulanya hanya  berkenalan, kemudian berbual-bual dan akhirnya mula meluahkan masalah hidup masing-masing. Anda mungkin tidak percaya tetapi kenyataanya perkara yang seumpama ini memang sering berlaku. Alasan ‘kaldai cinta’ ini ringkas dan mudah sahaja – “saya kesepian, “suami tidak pandai  melayan perasaan”, “isteri tidak pandai berhias.” Begitulah yang kerap kita dengar. Hairan juga, mereka ini bukan baru sehari dua duduk sebumbung, sudah bertahaun-tahun, sudah beranak pinak, tetapi seolah-olah baru saat itu ternampak segala keaiban dan kecacatan pasangan.
Ironinya, pada diri kekasih mayanya semua nampak sempurna. Hanya kerana dibelai dengan kata-kata indah, dihadiahkan gambar sejambak bunga, diberikan potret gambar (yang tidak dapat dipastikan adakah itu gambar sebenarnya), siisteri yang kesepian itupun cair. Lalu berbalas-balaslah kata cinta dan ayat-ayat ‘ I love you”, “I trust you” dan sebagainya. Waktu dinihari yang sepatutnya siisteri bangun solat tahajud mendoakan anak-anak dan suami telah digunakan secara curi-curi untuk berbual dengan kekasih hati.
Orang di sebelah sana, penuh rencana licik dan strategik. Perlahan-lahan, tahap demi tahap dia menjanjikan habuan. Bermula dengan hadiah, ingin datang melawat, ada wang hadiah yang akan dimasukkan dalam akaun bank kekasih, sehinggalah jemputan datang ke negaranya untuk memulakan hidup baru atau sekadar bercuti dalam jangkamasa tertentu. Mendengar segala janji manis itu apalagi… kaldai cinta inipun melonjak kegembiraan, tidak sedar perangkap sedang menganga untuk menelannya.
Sungguh tragis, apabila kaldai cinta itu akhirnya bertukar menjadi kaldai dadah. Mereka ditipu oleh kekasih mayanya untuk membawa dadah sama masuk ke dalam negara atau keluar negara. Daripada kesepian di rumah sendiri akhirnya mereka menjadi lebih kesepian apabila menjadi penghuni penjara. Ada pula yang maruahnya tergadai, bila mereka dinodai dan gambar-gambar yang mengaibkan itu akhirnya dijadikan bahan ugutan untuk mereka menurut kehendak sendikit dadah bertaraf antarabangsa ini. Cinta yang didamba tidak ditemui, kecelakaan dan bahana baru pula yang dtang menimpa.
Jangan menyelesaikan masalah dengan satu masalah. Kesepian, kelesuan dan kejemuan tidak akan dapat diatasi oleh perbuatan dosa dan amalan yang mungkar. Sebaliknya penuhi masa dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Jika kita beriman dan memegang teguh Islam, kita akan merasai bahawa tugasan dan tanggungjawab sentiasa melebihi masa yang ada. Begitu yang pernah ditegaskan oleh tokoh tersohor Hasan Al Banna. Jadi, mukmin yang hakiki sentiasa sibuk dan dapat mengatasi dua ‘musuh’ yang sering menyebabkan manusia alpa yakni kesihatan dan kelapangan masa.
Sepatutnya, masa yang terluang digunakan untuk bermacam-macam kegiatan yang bermanfaat. Ramai isteri yang meluangkan masa untuk mempelajari serta mendalami lagi kefasihan membaca Al Quran. Ada yang guat dengan aktiviti-aktiviti pengajian. Manakala sebahagiannya pula sibuk dengan program-program kebajikan. Isteri yang solehah dan suami yang soleh soleh sedang sibuk menyediakan bekalan untuk menempuh jalan pulang, tapi dia pula sibuk mengumpul beban dosa seolah-olah tidak mahu pulang!
Alangkah sia-sianya hidup jika masa banyak dibazirkan melayani dan melayari laman sosial secara marathon ditambah pula aktiviti mungkar memadu cinta dengan lelaki bukan mahram? Alangkah bodohnya isteri atau suami yang bangun di tengah malam, mencuri-curi berbual dengan kekasih mayanya sedangkan ada isteri solehah dan suami yang soleh sedang bermunajat kepada Allah memohon keselamatan seluruh ahli keluarganya dari malapetaka dunia dan akhirat? Sah, dialah kaldai cinta yang tertipu, bercinta tanpa guna akal yang waras, hati yang bersih dan perasaan yang stabil. Di mana wajah kita hendak dihadapkan di hadapan Allah di akhirat nanti ketika kita menderhakai suami dan menentang Allah serta RasulNya hanya kerana cinta murahan, khayalan dan tidak berpijak di bumi nyata?
Kemanisan beragama hanya akan dinikmati oleh mereka yang menegakkannya dalam kehidupan. Menegakkan hukum Allah di dalam rumah tangga akan memberikan ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Manakala melanggarnya akan mendatangkan kesusahan, penderitaan dan kekacauan jiwa.  Teman tapi mesra dan memiliki kekasih maya adalah dua penyakit jiwa yang sedang melanda rumah tangga umat Islam kini.
Puncanya? Mudah sahaja… jiwa kosong, tujuan hidup tidak jelas. Bagi mereka semua tidak kena. Suami pendiam dikatakan tidak romantik. Isteri peramah dikatakan penyebok. Bukan silap apa yang dipandang tetapi silapnya pada hati yang serong lalu pandangan jadi melencong. Benarlah kata bijak pandai, tidak ada angin yang menyebelahi mana-mana kapal yang tidak ada pelabuhan untuk dituju. Maka begitulah nasib kaldai cinta ini… hidupnya serba tidak kena, serba keliru dan celaru kerana tidak ada pelabuhan cinta sejati dan hakiki untuk dituju!

Sedikit Cahaya untuk Muslimah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

wahai saudariku... 
Salam penuh kerinduan buat sahabat muslimat yang kusayangi, harap kalian semua sentiasa dipayungi rahmat dan kasih sayang Al-Khaliq, dipermudahkan di dalam segala urusan dan dijauhkan daripada azab api neraka ... amin ...
 
Saudariku,
andai kau bersedih kerana dosa-dosamu, ketahuilah bahwa Allah akan mengampuni orang yang memohon ampun, akan memberi kepada yang meminta dan menerima yang bertaubat. 

Jadikan semua itu sebagai jambatan utk kau menjadi lebih baik dari sebelumnya bukan semakin lemah!.Marilah,hulurkan tanganmu bersamaku untuk kita mengejar cinta Rabb..sungguh! aku tak mau kamu sendirian menyesali dosa-dosa dan mencari jln menuju cahaya sendirian seperti aku dahulu yang pernah ditinggalkan ..  terkapai2 mengutip sisa semangat yg hilang. Krna aku bimbang,kamu tak kuat..krn perubahan itu membutuhkan bimbingan dan dorongan. 
 
Dan Jika kesedihan bertandang, perihatinlah dengan orang yang lemah,kamu akan bahagia. Penuhi hajat yang memerlukan, kamu akan disembuhkan. Jangan bawa kebencian, kamu akan dihargai. Sesungguhnya Allah bersamamu, para malaikat memohonkan ampunan untukmu dan syurga telah menantimu.Bersikap optimislah dalam hidup dengan berbaik sangka kepada Allah. Nyahkanlah segala duka dengan mengingat semua nikmat yang telah dikuniakan kepada kamu. Ingatlah bahwa di dunia ini tiada kebahagiaan yang sempurna, kerana tidak seorang pun di dunia bisa mendapat segala keinginannya. Ingat saudariku..jgn letakkan dunia di hatimu tetapi letakkanlah ia ditanganmu supaya mudah kau mengawalnya.

Renungkanlah..
Renungkan
wahai saudariku, adakah kesedihan dapat mengembalikan apa yang telah luput, kecemasan dapat memperbaiki kesalahan? Lantas apa gunanya kamu bersedih?. Berdoalah supaya memperoleh ketenangan dan pemeliharaan.Yakinlah..kamu sebenarnya cukup hebat..hebat jika meninggalkan kesedihan itu dan menggantikannya dgn semangat tuk merubah diri yg jitu dan mantap. Jika dulu dizalimi.. siramilah api kebencian kamu dengan cara memaafkan setiap orang yang pernah berbuat salah kepadamu. Ketahuilah, setiap perbuatan akan ada balasannya dari RabbMu,trus mengapa kita yg ingin menghukum?..serahkan semuanya kepada Dia untuk membalasnya. Serahkanlah urusan makhluk kepada Penciptanya,jangan peduli setiap pendengki dan orang yang suka mencari musuh.

Untuk akhirnya, ketahuilah bahawa Allah sentiasa bersamamu, jadi tidak ada alasan untukmu merasa takut. Tetapi jika kamu memusuhi Allah maka tidak ada lagi tempat  bergantung harap. Jadikanlah dirimu memakai akhlak mulia supaya kamu lebih indah dibanding jambangan bunga.

-Ingatlah
bahwa mencari bahagia itu tidak ubah spt menanam bunga mawar. Sebaik ditanam tidak terus berputik, tetapi biarlah ia tumbuh dan membesar lebih dahulu ...




MaafKan aku Yg MeninggalKanmu..




Dengan nama Allah... sebaik-baik Pemberi Ganjaran.

Namamukah yang tertulis di luh mahfuz sana?
Engkaukah yang bakal menemaniku jalan menuju syurga?
Dirimukah yang akan melengkapkan separuh dari agamaku?

Adakah kau yang tercipta untukku?
Jawab pertanyaanku ini.
Jawab!
Kau takkan pernah dapat memberi jawaban,
Kerna jawabannya bukan di tanganmu,
Tetapi di tangan-Nya.
Di tangan Tuhan kita; Allah,
Tuhanku dan Tuhanmu.
Gelisahku memikirkan dirimu,
Dan ketakutanku memikirkan Tuhanku,

Maafkan aku,
Ketakutanku pada Tuhanku melebihi kegelisahanku memikirkanmu.
Jemput diriku pabila waktunya tiba,
Sebelum sampai saat itu, biarkan aku sendiri bersama Si Dia,
Akan kucipta cinta bersama Dia,
Sebelum kucipta cinta antara kita.
Jadilah dirimu kumbang yang hebat,
Dan doakan aku agar menjadi bunga yang mekar,
Untuk itu, Aku tinggalkan dirimu pada-Nya
Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu,
Tidak ada suatu binatang melata melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya,
Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.
Usah bersedih atas perpisahan sementara ini,
Jika benar aku tercipta untukmu,
Tiada apa yang dapat menghalangnya,
Sebelum saat itu tiba,
Berdoalah pada Allah moga diberi kekuatan,
Mohonlah padanya dengan penuh mengharap.
Yakinlah pada janji Allah!


Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga) [Surah An Nur: 26]
Sesungguhnya Allah takkan pernah mensia-siakan pengorbananmu,
Bilamana kita tinggalkan semua ini kerana Allah semata.

Yakinlah!
Akan ada sesuatu yang indah untukmu di pengakhiran nanti.
Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu,
Daripada yang sekarang (permulaan),
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu ,
Lalu (hati) kamu menjadi puas.
[Surah Ad dhuha: 4 & 5]

Beruntunglah kamu!
Tatkala Allah memilihmu untuk menyedari hakikat perhubungan antara lelaki dan wanita
Allah memilihmu!
Jangan pernah sia-siakan kasih sayang Allah ini.
Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu
Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya
[Surah As Syams: 8-10]
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan:
"Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka,
Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan:
"Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih;
dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu
[Surah Fussilat: 30]
Dan tika kamu merasa lemah,
Mohonlah kekuatan dari-Nya,
Allah itu dekat,
Yakin pasti.
Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan,
Maka mohonlah perlindungan kepada Allah,


Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [Surah Fussilat: 36]


Kamu dan aku adalah intan terpilih,
Berdoalah aku kuat dan tabah untuk menjaga kilauanku,
Berdoalah tiada sang kumbang durjana merusakkannya sebelum yang halal tiba,
Aku juga sentiasa mendoakanmu agar dalam peliharanya,
Sentiasa.









'FRUST ' dalam BercinTa

 

Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”

Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.” Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.
(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.

Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?

Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.

Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,  ” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”
Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.

Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”

Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!” Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.

Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…

Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!

Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).

Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!

Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.

Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.

Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.

Semasa kita di peringkat remaja ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan mereka.

Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)  Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.  Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.

Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.

Jadi langkah pertama supaya remaja‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah  mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.

Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.

Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we cannot  direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.

Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!

Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.

Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.

Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!

Sematkan di hati kata pujangga ini:Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!”